Dr.Ali Sariati Sang bintang Dilangit Zaman

Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front
Ali Shariati (1933-1977), adalah intelektual dan reformis yang juga sering digambarkan sebagai Martin Luther dunia Islam. Beliau merupakan sosok pemikir yang ideal yang telah melahirkan ide-ide revolusioner dalam pemikiran moden.
Beliau lahir dalam abad yang penting yang menyaksikan kebangkitan gerakan dan kesedaran Islam di seluruh dunia. Cetusan pemikirannya yang rasional dan daya juangnya yang tinggi telah menarik perhatian ramai pemikir dan filasuf Barat, seperti Jean Paul Sartre yang mengungkapkan: “I have no religion, but if I were to choose one, it would be that of Shariati's” (Aku tidak punya agama, tetapi jika diberiku pilih, adalah pilihanku agama Shariati).


Dalam pengenalannya yang ringkas tentang karya Shariati, On the Sociology of Religion, Hamid Algar menulis: “awareness, sensitivity, boldness of thought, loftiness of spirit and fortitude of heart-these were the great human attributes that he found he had in common with ‘Ayn al-Quzat” (kesedaran, sensitiviti, kejelasan pemikiran, kekentalan semangat dan kekuatan dhamir merupakan sifat kemanusiaan yang hebat yang beliau (Shariati) temui dirinya berkongsi persamaan dengan ‘Ayn al-Quzat). [‘Ayn al-Quzat adalah seorang pakar undang-undang, ahli falsafah, sasterawan dan ahli matematik yang amat pintar yang dihukum bunuh pada usia 33 tahun].

Seputar Perjuangannya
Ali Shariati dilahirkan di rumah iniAli Shariati dilahirkan di rumah iniShariati dilahirkan di Mazinan, salah sebuah daerah kecil di Mashhad, Iran. Beliau menghabiskan pengajian rendah dan menengahnya di pinggir kota Sabzevar, Mashhad. Dalam tahun-tahun pengajiannya di Sekolah Latihan Perguruan, beliau berhubung dengan kelompok muda yang muncul dari kelas ekonomi bawahan (mustad‘afin). Perkenalan ini telah membawanya merasakan kesan kesulitan dan kepayahan yang diharungi dan kehidupan yang berat di Iran, yang mencetuskan iltizam politiknya untuk membawa perubahan (islah).
Setelah dipenjarakan berulang kali kerana aktivismenya, Shariati akhirnya dilepaskan oleh Shah Pahlevi pada 20 Mei 1975 kerana bantahan dan tekanan antarabangsa dengan syarat khusus bahawa beliau tidak boleh mengajar, menerbitkan, atau mengadakan pertemuan-pertemuan, baik secara umum atau secara pribadi.
Shariati menolak kesemua syarat ini dan memilih untuk berhijrah dan merantau ke England, dan mengusung pemikirannya di sana, namun belum beberapa lama beliau telah menemui syahid dalam kondisi yang misterius, yang dipercayai didalangi oleh agen perisikan Savak pada 19 Jun, 1977. Beliau dimakamkan di Damsyik, bersebelahan makam Hazrat Zaynab Rahimahullah.
Perjuangan Shariati menzahirkan idealisme dan kerangka pemikiran yang mendasar, dalam menanggapi soal-soal sosialisme, demokrasi dan sekularisme, yang merangkul kefahaman Islam yang rasional, seperti dirumuskan oleh Ahmad Wahib di dalam bukunya Pergolakan Pemikiran Islam tentang ide-ide pembaharuan yang digerakkan di  Indonesia.
“Ide sosialisme dan demokrasi…harus diterima sebagai tema pokok perjuangan umat Islam serta sebagai rumusan konkrit daripada ajaran al-Qur’an. Pikiran ini dikemukakannya sebagai realisasi sikap mental terbuka terhadap puncak-puncak pemikiran manusia tentang masalah-masalah sosial, dari mana pun datangnya faham atau ide itu sebagaimana orang Islam telah terbuka sikapnya terhadap karya orang-orang Barat di bidang masalah-masalah kealaman - sains dan teknologi.”
Sebagai seorang sosiologis Islam, Shariati berusaha merungkai permasalahan umat dengan bersandarkan prinsip dan ideologi Islam yang holistik. Menurut pandangannya, agama sebagai ideologi merupakan: “suatu keyakinan yang dipilih secara sadar untuk menjawab keperluan-keperluan yang timbul dan memecahkan masalah-masalah dalam masyarakat. Ideologi diperlukan, menurut Shariati, untuk mengarahkan suatu masyarakat atau bangsa dalam mencapai cita-cita dan wahana perjuangan. Ideologi dipilih untuk mengubah dan merombak status quo secara fundamental.”
Menurut Shariati, ide yang dilontarkannya tidak difikirkan muktamad, dan harus dilanjutkan dan dikritik, seperti yang dinyatakan dalam bukunya: “saya tidak pernah percaya bahawa apa yang saya katakan adalah pernyataan akhir tentang subjek itu; apa yang saya katakan hari ini mungkin akan saya ubah atau sempurnakan esok.”
Falsafah Perjuangannya
Dr. Ir. Hidayat NataatmadjaDr. Ir. Hidayat NataatmadjaDalam jalur pemikiran yang usang, Islamis konvensional lebih mendukung falsafah pembaharuan yang diketengahkan oleh Ibn Taimiyah daripada mengupas pemikiran Shariati yang dianggap lebih “menjernihkan liku-liku perkembangan falsafah Barat” semata.
Hal ini telah ditanggapi oleh Dr. Ir. Hidayat Nataatmadja dalam pengantarnya kepada buku Pemikiran Islam (Al-Fikr al-Islam fi Tatawwurihi) karya Muhammad al-Bahiy al-Khuliy: “Kalau kita membaca karya-karya Ali Syariati segera kita lihat bahwa pemikiran-pemikirannya benar-benar mempunyai citra barat, meskipun tentunya membawakan aspirasi Islam sebagaimana filosof-filosof Islam yang lain.”
Tambahnya lagi: “Saya kira, seandainya al-Bahiy membaca buku-buku karya Ali Syariati, dia akan mengambil kesimpulan bahwa buku-buku itu bukanlah filsafat Islam semata. Sesungguhnya kaum Muslimin akan sedar bahawa lebih ramai lagi orang-orang yang lebih faham dan mengerti karya-karya Ali Syariati daripada karya al-Ghazali atau Ibnu Taimiyah.”
Mungkin kerana itu, Shariati tidak diketengahkan sebagai perintis dan pelopor filsafat tetapi diangkat sebagai pelopor ideologi seperti Imam Muhammad Abduh. Namun, dengan pemikirannya yang tulen dan pandangannya yang berani, beliau telah menzahir dan menampilkan konsep-konsep sosiologi Islam yang segar dan menggariskan ideologi pemikiran yang fenomenal yang telah merintis kebangkitan sains dan falsafah dan “melahirkan era baru dalam pemikiran Islam.”
Shariati telah menyelami pelbagai bidang pemikiran falsafah, kalam, dan sosial yang dilacak daripada rangka pemikiran Islam. Pengetahuan yang mendalam ini telah menyebabkannya dikenal sebagai muhajir Islam, yang bangkit dari dasar pemikiran mistisisme timur, dan mendaki ketinggian faham sains sosial barat, dan terus bertahan dengan kemurnian fahaman dan ideologi Islam. Beliau bukan seorang reaksioner yang menentang segala pembaharuan, dan bukan pengikut falsafah Barat yang berpaut dengan faham materialis.
Memahami konteks dan kondisi zamannya, beliau memulakan cetusan kebangkitan dengan memberikan pencerahan kepada massa, terutamanya di kalangan anak muda. Beliau percaya sekiranya elemen masyarakat ini mempunyai keyakinan yang tulen, mereka akan mengerahkan sepenuh kekuatan untuk aktif berjihad dan mengorbankan semuanya termasuk jiwa kerana mempertahankan idealisme.
Dr Ali Shariati berjuang dengan konsisten untuk menanamkan nilai kemanusiaan di kalangan generasi muda. Beliau cuba memperkenalkan semula al-Qur’an dan sejarah Islam kepada para remaja supaya mereka dapat menemui diri mereka yang sebenar dalam seluruh dimensi kemanusiaannya dan melawan semua bentuk kebejatan dan pengaruh sosial yang bobrok.

Ali Shariati dianggap sebagai arkitek Revolusi Islam IranAli Shariati dianggap sebagai arkitek Revolusi Islam IranRevolusi
Shariati merupakan pencetus penting yang menggerakkan revolusi rakyat menentang regim despotik Reza Shah. Malahan beliau dianggap sebagai arkitek Revolusi Islam Iran.
Setelah disingkirkan daripada Universiti Mashshad, Shariati meneruskan kareer dan aktivismenya di Institut Husayniya-yi Irshad, sebuah pusat pengajian agama di Tehran. Tehran menyaksikan period yang paling kreatif dalam hidupnya, di mana syarahan dan diskusi yang disampaikannya telah menarik hampir berpuluh ribu orang pendukung dan pengikutnya. Di sinilah beliau mengembangkan teorinya tentang sosio budaya dan sejarah Islam.
Kesempatan ini juga direbut oleh Shariati untuk melancarkan kritikannya yang keras terhadap regim Syah. Usahanya telah berhasil mengerahkan para mahasiswa dan profesional muda yang berorientasi Islam untuk bergabung dengan kaum ulama’, santri dan pedagang, dan memunculkan gelombang perlawanan rakyat terhadap Syah, yang mewakili spektrum ideologi dan profesi yang luas, meliputi penulis, penyair wartawan, profesor dan mahasiswa, kelompok nasionalis, liberal dan marxis, kaum sekularis, tradionalis, dan modernis Islam.
Terpengaruh dengan pemikiran Hassan al-Banna, Sayyid Qutb, Abul A‘la al-Mawdudi dan Muhammad Iqbal, Syariati cuba merangka ideologi pembaharuan yang radikal dan mencetuskan semangat perubahan dan memangkin kebangkitan massa menentang regim otokratik Shah. Lantaran itu Syariati mengketengahkan konsep yang berbeza daripada vilayat-i-faqih atau kepimpinan ulama’ dan dominasi kumpulan agamawan. Sebaliknya Syariati menempatkan kaum intelektual yang tercerah (rausyanfikr) sabagai otoriti di dalam kepimpinan politik.
Tetapi undang-undang represif untuk membendung dan menyekat kemaraan rakyat terus dikerahkan, kerana, menurut Shariati “dalam zaman kejahilan, kesedaran itu sendiri adalah jenayah.” (For in an age of ignorance, awareness is itself a crime)
Dr. Ali Shariati telah menghasilkan banyak karya yang prolifik. Dalam seluruh tulisannya, beliau cuba memberikan gambaran Islam yang asli dan jelas. Beliau menaruh keyakinan yang kuat bahawa jika golongan intelektual dan generasi baru menyedari kebenaran agama ini, usaha ke arah perubahan sosial akan berhasil direalisasikan. Tema-tema pokok yang diangkat dalam tulisannya banyak menggarap tentang hubungan agama dan politik, yang menjadi dasar perjuangan dan asas ideologinya sebagai aktivis dan intelek.

Hajj
Hajj [The Hajj] adalah sebuah karyanya yang luar biasa dan revolusioner yang menzahirkan hujah-hujah syar‘iyyah tentang haji yang disandarkan kepada idealisme hukum dan matlamat syari’ah (maqasid asy-syari‘ah).
The Hajj merakamkan pengalaman spirituil Shariati di Tanah Suci yang mengangkat tema-tema penting seputar falsafah haji, simbolisme miqat, aspek alegorikal (figuratif) tentang Kaabah, tawaf, niat, musafir, hajar al-aswad, maqam Ibrahim, sa‘i, padang Arafah, ayyam al-tasyriq, Mina, korban, tiga jamrah, syaitan, ‘eid al-adha, karamah insan dan khalifah Tuhan, yang diungkapkannya sebagai the ideal man (manusia ideal).
Ia juga menghuraikan faham yang siginifikan tentang intipati dan fadilat haji, dan maqasidnya dan menekankan keperluan memperkukuh kesatuan dan menggarap kekuatan ummat yang meraikan kepelbagaian ide dan mazhab.
Tema pokok yang diangkat dalam karya ini adalah kesatuan ummah, seperti yang diungkapkan dalam perenggan awal daripada mukaddimah kitab: “Setiap tahun, umat Islam dari seluruh dunia digalakkan untuk menyertai ‘pertunjukan’ besar ini (Hajj). Setiap orang dianggap setara. Tidak ada diskriminasi yang dibuat berdasarkan bangsa, jantina, atau status sosialnya. Mengikut ajaran Islam, semua adalah satu dan satu adalah semua.”
The Hajj: Luar biasa dan revolusionerThe Hajj: Luar biasa dan revolusioner“Seseorang yang menyelamatkan nyawa seseorang, telah menyelamatkan kehidupan semua manusia dan seseorang yang membunuh jiwa seseorang, seakan telah membunuh kesemuanya.”
Haji bagi Syariati bagaikan sebuah drama. Karakter utamanya adalah Ibrahim dan Ismail, begitu jua Hajar dan Syaithan. Lokasinya adalah Arafah, Makkah dan Mina. Ka’bah, Sofa, Marwah dan ritual Haji adalah simbolnya. Ihram sebagai kostumnya dan pelakon utama adalah kita, iaitu setiap mereka yang mengerjakan Haji itu sendiri.
Syariati melakarkan falsafah yang mendalam tentang ritual lontaran tiga jamrah. Ia merupakan upacara simbolik dalam penentangan dan penolakan terhadap tiga jenis berhala dunia iaitu Fir’aun yang melambangkan kezaliman dan penindasan, Bal’am yang menjadi lambang hipokrasi dan Qarun yang melambangkan kapitalisme.
Kitab ini mengetengahkan kefahaman yang tuntas tentang falsafah haji, kesan yang dilahirkan daripada ibadah haji dan esensinya yang mendalam dan dampaknya yang signifikan terhadap umat.
Dalam memperkenalkan karya ini, Shariati menyebut: “apa yang telah saya secara peribadi belajar daripada haji - saya menjadi begitu “kerdil” dan haji menjadi begitu “besar” pada pengertiannya? Sejauh mana dan apakah yang dapat saya tanggapi daripada pengalaman ini? Halaman-halaman berikut ini adalah hasil daripada usaha kecil saya untuk menjawab persoalan ini.”
“Tujuan saya bukan untuk memaklumkan kepada pembaca apa yang harus dilakukan ketika mengerjakan haji. Hal ini boleh diperolehi dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh dan ibadah. Sebaliknya, saya ingin berkongsi dengan anda persepsi saya tentang kepentingan haji. Ia harus membantu anda memahami mengapa ia diwajibkan ke atas orang Islam untuk melaksanakan tugas ini, atau paling kurang membangkitkan semangat anda untuk memikirkan tentang haji.”
Pengalaman spirituil yang dirakamkan oleh Shariati ini telah membuka pandangan baru tentang konsep ibadat dan syari’at dan mencetuskan pembaharuan yang radikal dalam falsafah hukum dan jurispruden. Menurutnya: “dan sejauh yang saya tahu, dari sisi pandangan yang praktikal dan konseptual, rukun yang paling penting daripada doktrin Islam yang telah membangkitkan kesedaran umat dan membuatkan penganutnya merasa sedar, merdeka, terhormat dan dapat memikul tanggungjawab sosial adalah: tawhid, jihad, dan haji.”
Haji menurut Syariati “is a show of creation, a show of history, a show of unity, a show of the Islamic ideology and a show of the ummah”. [ Haji merupakan suatu paparan makhluk, suatu paparan sejarah, suatu paparan kesatuan, suatu paparan ideologi Islam dan suatu paparan ummah].
Rausyanfikr
Cita-cita perubahan yang digagaskan Shariati telah menghasilkan kejayaan yang dinamis dalam arus modernisme di Iran. Walaupun apa yang dilihat pada hari ini bukanlah perubahan yang dihajati atau diperjuangkan oleh Syariati semasa hayatnya.
Perjuangannya telah melantarkan asas yang kukuh tentang aspirasi Islam daripada rangka historis, sosiologis dan humanis. Ia menzahirkan pemikiran dan halatuju perjuangan yang jelas dalam mempelopori kebangkitan umat dan pembebasannya daripada penindasan regim yang zalim.
Syariati yakin bahawa sebarang perubahan hanya akan berlaku apabila ada agen yang dapat melahirkan kesedaran revolusioner. Kesedaran revolusioner itu tidak mungkin terbit daripada massa kerana massa terperangkap dalam rutin harian. Maka harus ada intelektual organik yang akan menjadi pemangkin bagi kesedaran revolusioner ini. Sesungguhnya kelompok kecil intelektual inilah yang mampu untuk menyedarkan massa akan segala ketidak-adilan dan kezaliman yang ada. Kelompok kecil inilah yang beliau namakan rausyanfikr.
Demikian itulah kelebihan rausyanfikr ini. Dengan kesedaran yang mereka temukan itulah mereka menggerakkan masyarakat untuk bangun menentang para penzalim yang berupa Fir’aun, Bal’am dan Qarun.
Semoga kita memperkemaskan diri dan mempertingkatkan intelek agar dapat menjadi rausyanfikr di bumi kita ini.
BACA JUGA ARTIKEL MENARIK DIBAWAH INI
Tags:
JANGAN LUPA KLIK TOMBOL SUKA DIBAWAH INI

0 comments

Post a Comment